CARA HIDUP ISLAM (III)

Posted by Ifhul99 | 11/12/2008 06:42:00 AM | | 0 komentar »

Oleh :Sayyid Abul A'la Maududi
Terjemahan: Ya'qub Muhammad Hussin Wan Salim Muhammad Nur



III MANHAJ HIDUP

Perbahasan di atas memperlihatkan dengan jelas bahawa Islam memulakan manhajNya dengan meletakkan garis-garis panduan yang tersusun rapi dan di atasnyalah hubungan manusia dengan Pemiliknya diwujudkan; seluruh kehidupan diri perseorangan dan masyarakat merupakan pelaksana dalam membina dan memperkukuhkan hubungan ini. IMAN merupakan titik-tolak kepada Agama (Ad Din) kita, terangkan di dalam penerimaan hubungan ini oleh akal dan kehendak manusia dan Islam adalah sebenar-benar kepatuhan dan pengabdian, (yaitu) satu-satunya cara penyerahan kepada Allah SubhanahuWata'ala bagi seluruh aspek kehidupan dan tabiat.

Sekarang kita telah berada di atas kedudukan yang dapat meninjau pandangan dan manhaj hidup yang dituntut Islam. Manhaj hidup ini - peraturan-peraturan dalam tindak-tanduk - dikenali sebagai SYARI'AT. Sumber-sumber Syari'at pula ialah Al Quran Al Karim dan Sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam.

Kitab Allah yang terakhir dan RasulNya yang penyudah sedang tegak berdiri sebagai khazanah kepada kebenaran itu dan kedua-duanya mengundang manusia seluruhnya agar menerima kebenaran. Allah Yang Maha Berkuasa telah menganugerahkan manusia dengan IKHTIAR atau kebebasan melaksanakan kehendaknya dalam bidang akhlaq dan dalam hubungan IKHTIAR inilah yang dikaitkan dengan maksud menerima kebenaran (yakni manusia bebas memilih kebenaran atau kekafiran kerana kedua-dua mempunyai perbezaan yang jelas).

Dengan demikian penerimaan (kebenaran) adalah atas dasar rela menerima dan bukan paksaan. Sesiapa saja yang bersetuju menerima (dengan ikhlas hati) Konsep Hakikat yang dibawa oleh Rasulullah dan termaktub dalam Kitab Suci Al Quran itu sebagai benar, maka wajar baginya untuk mara ke hadapan dan menundukkan kehendak dirinya kepada kehendak dan tuntutan Allah. Penyerahan tunduk patuh inilah yang dinamakan ISLAM, pancaran dan pembuktian dari IMAN dalam kehidupan 'amaliyyah dan barang siapa yang berbuat demikian - yakni sesiapa yang mengikhlaskan dirinya menerima Allah sebagai Pemerintah Tertinggi dan
tunduk patuh kepada kehendakNya yang mulia (kerana manusia wajib memuliakan kehendak dan peraturan Allah) serta berusaha menyusun atur kehidupan mereka selaras dengan tuntutan-tuntutan Allah Subhanahu Wata'ala dan itulah golongan yang digelar Muslim dan Muslimin.

Semua mereka yang tunduk patuh kepada kehendak Allah dengan cara demikian (secara tidak langsung) menwujudkan satu masyarakat (yang mempunyai keseragaman dalam asas-asas bertindak) dan dengan cara inilah 'Masyarakat Islam' terbentuk. Demikianlah caranya satu masyarakat yang tegak atas dasar 'AQIDAH - satu masyarakat yang wujudnya berbeza sekali dari masyarakat yang diasaskan atas dasar keta'suban bangsa, warna kulit atau sempadan kenegerian.

Masyarakat Islam adalah wujud hasil dari kebebasan memilik dan kemampuan penglibatan anggota-anggotanya: Inilah hasil (Ikatan setia yang terjadi antara manusia dengan Penciptanya Yang Maha Agung. Sesiapa saja yang memasuki 'Perikatan Setia' ini telah mengambil tanggungjawab mengakui Allah 'Azzawajalla sebagai Pemerintah Tertinggi mereka, pimpinanNya sebagai pemimpin yang paling tinggi bagi mereka dan ajaran-ajaranNya sebagai hukum-hukum yang mutlak untuk mereka. Mereka juga telah mengambil tanggungjawab untuk menerima tanpa sebarang soal dan syak meragui tentang pembahagian baik atau buruk, benar atau salah, dibenarkan (diharuskan) atau diharamkan, yang telah ditetapkan olehNya.

Dengan kata-kata yang ringkas dapatlah dikatakan 'Masyarakat Islam' adalah masyarakat yang bersetuju secara sukarela untuk membataskan kehendak-kehendak mereka sebagai yang telah ditetapkan oleh Allah, Tuhan Yang Pengetahuan meliputi segala sesuatu. Atau dengan lain perkataan, Iradah Allah merupakan sumber perundangan yang utama dan bukan manusia itu
sendiri dalam sebuah 'Masyarakat Muslim'.

Apabila masyarakat tersebut muncul menjadi kenyataan, Al Quran dan Rasulullah telah menetapkan bagi masyarakat ini satu peraturan hidup yang dinamakan 'Syari'at' dan masyarakat ini dituntut patuh kepadaNya kerana sebelumnya mereka telah terlibat dalam perikatan setia dengan Allah. Oleh yang demikian tidaklah dapat dibayangkan bagaimana sesuatu masyarakat Muslimyang telah memakai gelaran nama yang mulia itu boleh dengan bebas menerima dan menyesuaikan satu sistem hidup yang lain bagi menggantikan Syari'at yang telah dikhaskan untuk mereka. Jika terjadi demikian, 'janji setia' mereka dengan sendirinya (ipso facto) terurai atau terbatal dan seluruh masyarakat tidak lagi bersifat Islam (La Islamiyyah).

Namun demikian kita mestilah dengan jelas membezakan antara dosa-dosa dan pelanggaran yang dilakukan oleh individu dengan perlanggaran-perlanggaran dan penderhakaan yang menyanggah syariah. Yang pertama tidaklah membawa maksud pembatalan 'ikatan setia' tetapi yang kedua sudah pasti tidak lari dari maksud yang satu itu (iaitu terbatallah 'ikatan setia' itu). Satu perkara yang mesti difahami dengan jelas di sini ialah jika masyarakat Islam secara sedar
memutuskan untuk menolak Syari'at dan membuat perlembagaan dan undang-undangnya sendiri atau meminjamnya dari sumber-sumber yang lain dengan menolak sama sekali Syari'at, masyarakat itu telah merobohkan ikatan setia mereka dengan Allah dan telah melepaskan hak mereka untuk digelar sebagai Islamiyyah atau bersifat Islam.

0 komentar

islam ebook gratis, wallpaper gratis, m3 religi gratis, dakwah islam, serba-serbi islam, perpustakaan islam, dakwah firdaus