CARA HIDUP ISLAM (IV)

Posted by Ifhul99 | 11/13/2008 01:51:00 AM | 0 komentar »

Oleh: Sayyid Abul A'la Maududi
Terjemahan: Ya'qub Muhammad Hussin Wan Salim Muhammad Nur


IV TUJUAN-TUJUAN DAN SIFAT-SIFAT MANHAJ HIDUP ISLAM

Sekarang kita pergi ke perbincangan seterusnya untuk memahami Manhaj hidup sebagaimana yang telah dituntut oleh Syari'at. Untuk memahaminya terlebih dahulu kita perlu memahami dengan jelas terhadap tujuan-tujuan dan dasar-dasar Syari'at.

Tujuan utama Syari'at ialah untuk membentuk kehidupan manusia atas dasar Ma'rufat (nilai-nilai kebajikan dan kemuliaan) dan menghindari dari yang mungkar (perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan kerosakan). Istilah Ma'rufat di dalamnya terangkum segala maksud nilai-nilai kebajikan, kemuliaan dan taraf yang tinggi yang merupakan nilai-nilai yang diakui baik dan mulia oleh manusia. Sebaliknya, kalimat Munkarat merangkumi segala maksud dosa dan kejahatan yang senantiasa dikutuk dan dibenci oleh manusia sebagai kejahatan.

Ringkasnya Ma'rufat adalah nilai-nilai atau perkara-perkara yang serasi dengan tabi'ie dan keperluan manusia keseluruhannya manakala Munkarat adalah hal-hal yang berlawanan. Syari'at telah memberikan satu gambaran yang terang dan jelas tentang Ma'rufat dan Munkarat dan telah menetapkannya sebagai nilai susila yang wajib dipatuhi oleh individu mahupun masyarakat.

Namun demikian Syari'at tidak pula membataskan peranannya sekadar untuk menyediakan kita senarai kebajikan-kebajikan dan kejahatan-kejahatan sahaja; ia meletakkan (garis-garis dasar) bagi seluruh skema kehidupan manusia demikian rupa sehingga kebajikan-kebajikan dapat berkembang dengan sihat dan kejahatan-kejahatan tidak ada kesempatan untuk mencemari dan memusnahkan kehidupan manusia.

Untuk mencapai tujuan ini, Syari'at telah memasukkan ke dalam Manhajnya semua faktor-faktor yang menggalakkan pertumbuhan perkara-perkara yang baik dan mengajukan pula langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghadapi dan membolosi rintangan-rintangan yang boleh menghalang pertumbuhan dan pembangunan. Proses ini menimbulkan satu lagi siri Ma'rufat yang mengandungi sebab-sebab dan cara-cara menumbuhkan dan memupuk kebaikan dan satu lagi siri Ma'rufat yang mengandungi perintah-perintah larangan dalam hubungannya dengan perkara tertentu yang bertindak sebagai pelindung dan rintangan- rintangan bagi kebajikan itu. Begitu juga terdapat satu senarai Munkarat yang memungkinkan tercetus dan berkembangnya kejahatan.

Syari'at membentuk masyarakat Islam dengan satu cara yang dapat membawa pertumbuhan yang lancar bagi kebajikan, kebaikan dan kebenaran dalam setiap lapangan kegiatan manusia dan memberikan kebebasan penuh kepada kekuatan kebajikan untuk bergerak dari segenap sudut. Di waktu yang sama ia merubah dan menjungkir semua bentuk rintangan yang menghalang jalan menuju kebajikan itu. Bersama-sama dengan ini, ia berusaha untuk menghapus kejahatan -kejahatan dari hidup masyarakatnya dengan cara melarang kejahatan- kejahatan; membuang sebab-sebab yang menimbulkannya; menutup lubang-lubang yang menjadi saluran penularan masuk ancaman dan mengambil tindakan mengancam supaya terhindar kejahatan yang tidak diingini.

MA'RUFAT
Syari'at membahagikan Ma'rufat kepada tiga bahagian;
  • Fardhu'ain wajib (perkara-perkara yang diperintahkan kita melakukannya, jika dilaksanakan mendapat pahala dan berdosa jika ditinggalkan - penterjemah).
  • Sunat dan Matlub (perbuatan atau 'amalan yang digalakkan kita melakukannya dengan diberi pahala bila dilaksanakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan - penterjemah).
  • Mubah (perkara yang tidak diberi pahala bila dikerjakan dan tiada berdosa jika ditinggalkan - penterjemah).
Ma'rufat yang pertama (Fardu), adalah wajib dilaksanakan oleh sesuatu masyarakat Islam dan Syari'at telah memberikan arahan-arahan dan peraturan yang sangat jelas. Bagi Ma'rufat yang kedua pula (Sunat) Syar'at menganjurkan dan inginkan agar masyarakat umat Muslimin mengambil tahu dan melaksanakannya. Beberapa bahagian daripadanya secara jelas dituntut kita melaksanakannya manakala sebahagian yang lain adalah dianjurkan secara isyarat dan kesimpulan dari Hadith-Hadith Rasulullah SaLlaLlahu 'alaihi Wasallam sendiri.

Selain dari yang disebutkan terdapat peraturan-peraturan yang khusus dibuat untuk pertumbuhan dan penggalakkan kepada beberapa amalan dalam kehidupan yang telah ditetapkan oleh Syari'at. Yang lain-lainnya memang telah dianjurkan oleh Syari'at dengan menyerahkan kepada masyarakat atau anggota-anggotanya yang berilmu dan berwibawa untuk menjaga perkembangan atau peningkatannya.

Sekarang sampailah kita kepada Ma'rufat dalam kategori Mubah. Secara tegas dapatlah dikatakan bahawa menurut Syari'ah setiap sesuatu yang tidak dinyatakan laranganNya adalah dibolehkan (Mubah). Adalah tidak perlu satu pernyataan keizinan wujud untuknya atau dengan tegas ia harus diserahkan kepada pilihan kita. Lantaran itu Ma'rufat yang Mubah ini sangatlah luas, keluasannya menggenapi berbagai perkara terkecuali perkara-perkara yang khusus telah dilarang oleh Syari'at. Semua perkara (kecuali yang termasuk dalam kategori yang lain) adalah Mubah bagi umat Islam. Dan inilah sesungguhnya suasana dan lapangan di mana kita berikan kebebasan dan mengatur kehidupan dengan peraturan-peraturan untuk menyesuaikan keperluan masa dan keadaan agar senantiasa bersesuaian dengan roh Syari'at Islamlyyah.

MUNKARAT
Munkarat (yakni perkara-perkara yang terlarang dalam Islam) telah dibahagikan kepada dua bahagian.
  • Haram (perkara-perkara yang telah dilarang atau diharamkan secara mutlak dan tidak boleh dipersoalkan lagi).
  • Makruh (perkara-perkara yang tidak digalakkan kita melakukannya. Jikadilakukan tidak berdosa tetapi apabila ia ditinggalkan diberi pahala).
Secara tegas dan jelas Islam telah mewajibkan ke atas penganut-penganutNya supaya meninggalkan sama sekali perkara-perkara yang telah dinyatakan larangannya (Haram). Begitu juga dalam perkara Ma'rufat, Syari'at menyatakan Islam tidak gemar yang demikian, dinyatakannya perkara yang tidak digalakkan itu secara terang-terangan atau dengan cara isyarat terhadap darjat perkara itu tidak disukai. Sebagai misal, terdapat beberapa perkara Ma' rufat yang bersempadan dengan haram sedangkan yang lainnya berdekatan dengan perkara-perkara yang Mubah (atau dibolehkan). Yang sudah pasti jumlah perkara yang Makruh itu amatlah besar dan terletak antara dua kenyataan yang sangat nyata (perbezaannya) yakni perbuatan-perbuatan yang sama sekali dilarang (Haram) dan perbuatan-perbuatan yang dibolehkan (Mubah).

Selain dari itu terdapat dalam beberapa peraturan tertentu yang dinyatakan oleh Syari'at untuk tujuan menghalang perkara-perkara Ma'rufat manakala untuk yang lain-lainnya. Pengaturan-pengaturannya diserahkan kepada masyarakat atau orang perseorangan menentukannya.

BEBERAPA SIFAT IDEOLOGI ISLAM
Demikianlah Syari'at telah menetapkan arahan-arahan sebagai peraturan untuk mengatur kehidupan individu mahu pun masyarakat. Arahan-arahan ini merangkumi berbagai-bagai perkara sebagai 'Ibadat khususiyyat, perwatakan diri, akhlaq, kebiasaan, hubungan kekeluargaan, kebajikan sosial dan ekonomi, pentadbiran, hak-hak dan tanggungjawab warganegara, sistem keadilan, undang-undang perang dan damai dan hubungan antarabangsa. Ringkasnya dapatlah disimpulkan bahawa peraturan-peraturan itu merangkumi seluruh aspek pergerakan hidup insan.

Petunjuk-petunjuk ini menjelaskan apa yang baik dan apa yang buruk; apa yang menguntungkan dan bermanfa'at apa yang salah dan yang membinasakan; apalah nilai-nilai kebaikan yang harus kita tanam dan kita galakkan, apakah pula kejahatan-kejahatan yang harus kita perangi dan menyekatnya; apa bidang yang diri perseorangan dan masyarakat boleh turut memberi sumbangan secara sukarela, apa batas-batasnya dan akhir sekali apa pula cara-cara dalam usaha menegakkan satu sistem masyarakat yang dinamik dan apa pula cara-gaya yang harus kita elak. Syari'at sesungguhnya adalah satu peraturan hidup yang sempurna dan merangkumi seluruh aspek kehidupan - tidak ada yang berlebihan dan tidak ada yang berkurangan.

Satu lagi ciri Syari'at yang menonjol ialah ianya adalah satu keseluruhan organik. Seluruh program hidup yang digariskan oleh Islam adalah dijiwai oleh semangat yang sama dan kerananya sebarang pembahagian atau permisahan dari program itu akan mencacatkan semangat mahupun susunan masyarakat Islam. Dalam hal ini ia bolehlah dibandingkan dengan tubuh badan manusia yang merupakan satu system organik. Sebelah kaki yang diceraikan dari badan manusia tidak boleh dipanggil satu per lapan atau satu per enam manusia, sebab selepas terpisah dari badan, kaki tidak lagi dapat menjalankan tugasnya untuk manusia. Malah untuk ditempatkan di badan haiwan lain sekalipun jangan diharap ia dapat berperanan.

Begitu juga kita tidak dapat menetapkan satu pendapat yang jelas terhadap penggunaan, kemahiran dan kecantikan tangan, mata dan hidung manusia secara berasingan, tanpa menilai kedudukan dan tugasnya bersama badan manusia yang hidup.

Perkara yang sama dapat dikaitkan dengan program hidup telah dikemukakan oleh Syari'at Islam mengemukakan keseluruhan program hidup dan tidak sebarang bahagian terpisah dari induknya. Oleh itu amatlah tidak wajar satu-satu bahagian atau bahagian-bahagian dari Syari'at itu dipandang secara terpisahpisah antara satu sama lain tanpa melihat keseluruhan sistem yang dikemukakan.

Begitu juga tidak akan ada apa-apa faedah sekiranya diterima satu bahagian tertentu dan Syari'at dan dicantumkan pula dengan 'isme atau faham yang lain.

Syari'at akan hanya dapat berperanan dengan lancar dan dapat menunjukkan keberkesanannya jika seluruh sistem hidup diamalkan menurut ketentuan yang telah ditetapkan dan bukan sebaliknya.

0 komentar

islam ebook gratis, wallpaper gratis, m3 religi gratis, dakwah islam, serba-serbi islam, perpustakaan islam, dakwah firdaus