Sekedar Renungan.......

Posted by Ifhul99 | 11/14/2008 01:28:00 AM | 0 komentar »

Setiap jejak kaki kita menyimpan seribu tanya tak terjawab
setiap ayunan tangan kita menyimpan seribu teka-teki tak tertebak
biarkanlah kakimu melangkah, biarkanlah tanganmu berayun
tapi....., jangan pernah ingkari kata hatimi
sebab kejujuran ada di lubuk hatimu yang paling dalam.

Memandang jauh kedepan bukan berarti kita tahu apa yang ada dihadapan kita
menunduk bukan berarti kita tak tahu apa-apa
tetaplah kau menunduk sebab kita bukan siapa-siapa di mata-Nya....

ketika mentari pagi tak mampu lagi menyinari hidupmu
ketika embun pagi tak mampu lagi menyejukkan hatimu
ketika rkicau burung tak mampu lagi menentramkan jiwamu
dan ketika gemuruh ombak tak mampu lagi mendamaikan perasaanmu
kemana kau akan mengadu...........?
hanya imanlah yang mampu melakukan semuanya
hanya imanlah yang mampu menyejukkan hatimu yang membara
menentramkan jiwamu yang risau
dan mendamaikan perasaanmu yang kacau......

Bayangkanlah ketika kita terbangun dipagi hari
kita dapatkan orang yang melahirkan kita
terbaring terbalut kain kafan
sementara hari kemarin kita telah melukai perasaan
dan belum terucap kata maaf dari mulut kita.....

Bayangkanlah ketika kita terbangun dipagi hari
kita mendengar kabar bahwa orang yang kita benci
telah bepulang kepada-Nya
sementara hari kemarin kita belum memberi maaf kepadanya...

dan bayangkanlah ketika kita tertidur
dan itu adalah tidur untuk yang terakhir kalinya
sementara hari kemarin kita masih dalam keadaan kufur......

cobalah renungkan...
jika hatimu tak tergugah
berarti engkau bukan sahabatku.....

Aku ada karena-Nya
Aku hidup untuk-Nya
Aku tiada dan kembali kepada-Nya....

(Someone who was die)


CARA HIDUP ISLAM (IV)

Posted by Ifhul99 | 11/13/2008 01:51:00 AM | 0 komentar »

Oleh: Sayyid Abul A'la Maududi
Terjemahan: Ya'qub Muhammad Hussin Wan Salim Muhammad Nur


IV TUJUAN-TUJUAN DAN SIFAT-SIFAT MANHAJ HIDUP ISLAM

Sekarang kita pergi ke perbincangan seterusnya untuk memahami Manhaj hidup sebagaimana yang telah dituntut oleh Syari'at. Untuk memahaminya terlebih dahulu kita perlu memahami dengan jelas terhadap tujuan-tujuan dan dasar-dasar Syari'at.

Tujuan utama Syari'at ialah untuk membentuk kehidupan manusia atas dasar Ma'rufat (nilai-nilai kebajikan dan kemuliaan) dan menghindari dari yang mungkar (perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan kerosakan). Istilah Ma'rufat di dalamnya terangkum segala maksud nilai-nilai kebajikan, kemuliaan dan taraf yang tinggi yang merupakan nilai-nilai yang diakui baik dan mulia oleh manusia. Sebaliknya, kalimat Munkarat merangkumi segala maksud dosa dan kejahatan yang senantiasa dikutuk dan dibenci oleh manusia sebagai kejahatan.

Ringkasnya Ma'rufat adalah nilai-nilai atau perkara-perkara yang serasi dengan tabi'ie dan keperluan manusia keseluruhannya manakala Munkarat adalah hal-hal yang berlawanan. Syari'at telah memberikan satu gambaran yang terang dan jelas tentang Ma'rufat dan Munkarat dan telah menetapkannya sebagai nilai susila yang wajib dipatuhi oleh individu mahupun masyarakat.

Namun demikian Syari'at tidak pula membataskan peranannya sekadar untuk menyediakan kita senarai kebajikan-kebajikan dan kejahatan-kejahatan sahaja; ia meletakkan (garis-garis dasar) bagi seluruh skema kehidupan manusia demikian rupa sehingga kebajikan-kebajikan dapat berkembang dengan sihat dan kejahatan-kejahatan tidak ada kesempatan untuk mencemari dan memusnahkan kehidupan manusia.

Untuk mencapai tujuan ini, Syari'at telah memasukkan ke dalam Manhajnya semua faktor-faktor yang menggalakkan pertumbuhan perkara-perkara yang baik dan mengajukan pula langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghadapi dan membolosi rintangan-rintangan yang boleh menghalang pertumbuhan dan pembangunan. Proses ini menimbulkan satu lagi siri Ma'rufat yang mengandungi sebab-sebab dan cara-cara menumbuhkan dan memupuk kebaikan dan satu lagi siri Ma'rufat yang mengandungi perintah-perintah larangan dalam hubungannya dengan perkara tertentu yang bertindak sebagai pelindung dan rintangan- rintangan bagi kebajikan itu. Begitu juga terdapat satu senarai Munkarat yang memungkinkan tercetus dan berkembangnya kejahatan.

Syari'at membentuk masyarakat Islam dengan satu cara yang dapat membawa pertumbuhan yang lancar bagi kebajikan, kebaikan dan kebenaran dalam setiap lapangan kegiatan manusia dan memberikan kebebasan penuh kepada kekuatan kebajikan untuk bergerak dari segenap sudut. Di waktu yang sama ia merubah dan menjungkir semua bentuk rintangan yang menghalang jalan menuju kebajikan itu. Bersama-sama dengan ini, ia berusaha untuk menghapus kejahatan -kejahatan dari hidup masyarakatnya dengan cara melarang kejahatan- kejahatan; membuang sebab-sebab yang menimbulkannya; menutup lubang-lubang yang menjadi saluran penularan masuk ancaman dan mengambil tindakan mengancam supaya terhindar kejahatan yang tidak diingini.

MA'RUFAT
Syari'at membahagikan Ma'rufat kepada tiga bahagian;
  • Fardhu'ain wajib (perkara-perkara yang diperintahkan kita melakukannya, jika dilaksanakan mendapat pahala dan berdosa jika ditinggalkan - penterjemah).
  • Sunat dan Matlub (perbuatan atau 'amalan yang digalakkan kita melakukannya dengan diberi pahala bila dilaksanakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan - penterjemah).
  • Mubah (perkara yang tidak diberi pahala bila dikerjakan dan tiada berdosa jika ditinggalkan - penterjemah).
Ma'rufat yang pertama (Fardu), adalah wajib dilaksanakan oleh sesuatu masyarakat Islam dan Syari'at telah memberikan arahan-arahan dan peraturan yang sangat jelas. Bagi Ma'rufat yang kedua pula (Sunat) Syar'at menganjurkan dan inginkan agar masyarakat umat Muslimin mengambil tahu dan melaksanakannya. Beberapa bahagian daripadanya secara jelas dituntut kita melaksanakannya manakala sebahagian yang lain adalah dianjurkan secara isyarat dan kesimpulan dari Hadith-Hadith Rasulullah SaLlaLlahu 'alaihi Wasallam sendiri.

Selain dari yang disebutkan terdapat peraturan-peraturan yang khusus dibuat untuk pertumbuhan dan penggalakkan kepada beberapa amalan dalam kehidupan yang telah ditetapkan oleh Syari'at. Yang lain-lainnya memang telah dianjurkan oleh Syari'at dengan menyerahkan kepada masyarakat atau anggota-anggotanya yang berilmu dan berwibawa untuk menjaga perkembangan atau peningkatannya.

Sekarang sampailah kita kepada Ma'rufat dalam kategori Mubah. Secara tegas dapatlah dikatakan bahawa menurut Syari'ah setiap sesuatu yang tidak dinyatakan laranganNya adalah dibolehkan (Mubah). Adalah tidak perlu satu pernyataan keizinan wujud untuknya atau dengan tegas ia harus diserahkan kepada pilihan kita. Lantaran itu Ma'rufat yang Mubah ini sangatlah luas, keluasannya menggenapi berbagai perkara terkecuali perkara-perkara yang khusus telah dilarang oleh Syari'at. Semua perkara (kecuali yang termasuk dalam kategori yang lain) adalah Mubah bagi umat Islam. Dan inilah sesungguhnya suasana dan lapangan di mana kita berikan kebebasan dan mengatur kehidupan dengan peraturan-peraturan untuk menyesuaikan keperluan masa dan keadaan agar senantiasa bersesuaian dengan roh Syari'at Islamlyyah.

MUNKARAT
Munkarat (yakni perkara-perkara yang terlarang dalam Islam) telah dibahagikan kepada dua bahagian.
  • Haram (perkara-perkara yang telah dilarang atau diharamkan secara mutlak dan tidak boleh dipersoalkan lagi).
  • Makruh (perkara-perkara yang tidak digalakkan kita melakukannya. Jikadilakukan tidak berdosa tetapi apabila ia ditinggalkan diberi pahala).
Secara tegas dan jelas Islam telah mewajibkan ke atas penganut-penganutNya supaya meninggalkan sama sekali perkara-perkara yang telah dinyatakan larangannya (Haram). Begitu juga dalam perkara Ma'rufat, Syari'at menyatakan Islam tidak gemar yang demikian, dinyatakannya perkara yang tidak digalakkan itu secara terang-terangan atau dengan cara isyarat terhadap darjat perkara itu tidak disukai. Sebagai misal, terdapat beberapa perkara Ma' rufat yang bersempadan dengan haram sedangkan yang lainnya berdekatan dengan perkara-perkara yang Mubah (atau dibolehkan). Yang sudah pasti jumlah perkara yang Makruh itu amatlah besar dan terletak antara dua kenyataan yang sangat nyata (perbezaannya) yakni perbuatan-perbuatan yang sama sekali dilarang (Haram) dan perbuatan-perbuatan yang dibolehkan (Mubah).

Selain dari itu terdapat dalam beberapa peraturan tertentu yang dinyatakan oleh Syari'at untuk tujuan menghalang perkara-perkara Ma'rufat manakala untuk yang lain-lainnya. Pengaturan-pengaturannya diserahkan kepada masyarakat atau orang perseorangan menentukannya.

BEBERAPA SIFAT IDEOLOGI ISLAM
Demikianlah Syari'at telah menetapkan arahan-arahan sebagai peraturan untuk mengatur kehidupan individu mahu pun masyarakat. Arahan-arahan ini merangkumi berbagai-bagai perkara sebagai 'Ibadat khususiyyat, perwatakan diri, akhlaq, kebiasaan, hubungan kekeluargaan, kebajikan sosial dan ekonomi, pentadbiran, hak-hak dan tanggungjawab warganegara, sistem keadilan, undang-undang perang dan damai dan hubungan antarabangsa. Ringkasnya dapatlah disimpulkan bahawa peraturan-peraturan itu merangkumi seluruh aspek pergerakan hidup insan.

Petunjuk-petunjuk ini menjelaskan apa yang baik dan apa yang buruk; apa yang menguntungkan dan bermanfa'at apa yang salah dan yang membinasakan; apalah nilai-nilai kebaikan yang harus kita tanam dan kita galakkan, apakah pula kejahatan-kejahatan yang harus kita perangi dan menyekatnya; apa bidang yang diri perseorangan dan masyarakat boleh turut memberi sumbangan secara sukarela, apa batas-batasnya dan akhir sekali apa pula cara-cara dalam usaha menegakkan satu sistem masyarakat yang dinamik dan apa pula cara-gaya yang harus kita elak. Syari'at sesungguhnya adalah satu peraturan hidup yang sempurna dan merangkumi seluruh aspek kehidupan - tidak ada yang berlebihan dan tidak ada yang berkurangan.

Satu lagi ciri Syari'at yang menonjol ialah ianya adalah satu keseluruhan organik. Seluruh program hidup yang digariskan oleh Islam adalah dijiwai oleh semangat yang sama dan kerananya sebarang pembahagian atau permisahan dari program itu akan mencacatkan semangat mahupun susunan masyarakat Islam. Dalam hal ini ia bolehlah dibandingkan dengan tubuh badan manusia yang merupakan satu system organik. Sebelah kaki yang diceraikan dari badan manusia tidak boleh dipanggil satu per lapan atau satu per enam manusia, sebab selepas terpisah dari badan, kaki tidak lagi dapat menjalankan tugasnya untuk manusia. Malah untuk ditempatkan di badan haiwan lain sekalipun jangan diharap ia dapat berperanan.

Begitu juga kita tidak dapat menetapkan satu pendapat yang jelas terhadap penggunaan, kemahiran dan kecantikan tangan, mata dan hidung manusia secara berasingan, tanpa menilai kedudukan dan tugasnya bersama badan manusia yang hidup.

Perkara yang sama dapat dikaitkan dengan program hidup telah dikemukakan oleh Syari'at Islam mengemukakan keseluruhan program hidup dan tidak sebarang bahagian terpisah dari induknya. Oleh itu amatlah tidak wajar satu-satu bahagian atau bahagian-bahagian dari Syari'at itu dipandang secara terpisahpisah antara satu sama lain tanpa melihat keseluruhan sistem yang dikemukakan.

Begitu juga tidak akan ada apa-apa faedah sekiranya diterima satu bahagian tertentu dan Syari'at dan dicantumkan pula dengan 'isme atau faham yang lain.

Syari'at akan hanya dapat berperanan dengan lancar dan dapat menunjukkan keberkesanannya jika seluruh sistem hidup diamalkan menurut ketentuan yang telah ditetapkan dan bukan sebaliknya.

CARA HIDUP ISLAM (III)

Posted by Ifhul99 | 11/12/2008 06:42:00 AM | | 0 komentar »

Oleh :Sayyid Abul A'la Maududi
Terjemahan: Ya'qub Muhammad Hussin Wan Salim Muhammad Nur



III MANHAJ HIDUP

Perbahasan di atas memperlihatkan dengan jelas bahawa Islam memulakan manhajNya dengan meletakkan garis-garis panduan yang tersusun rapi dan di atasnyalah hubungan manusia dengan Pemiliknya diwujudkan; seluruh kehidupan diri perseorangan dan masyarakat merupakan pelaksana dalam membina dan memperkukuhkan hubungan ini. IMAN merupakan titik-tolak kepada Agama (Ad Din) kita, terangkan di dalam penerimaan hubungan ini oleh akal dan kehendak manusia dan Islam adalah sebenar-benar kepatuhan dan pengabdian, (yaitu) satu-satunya cara penyerahan kepada Allah SubhanahuWata'ala bagi seluruh aspek kehidupan dan tabiat.

Sekarang kita telah berada di atas kedudukan yang dapat meninjau pandangan dan manhaj hidup yang dituntut Islam. Manhaj hidup ini - peraturan-peraturan dalam tindak-tanduk - dikenali sebagai SYARI'AT. Sumber-sumber Syari'at pula ialah Al Quran Al Karim dan Sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam.

Kitab Allah yang terakhir dan RasulNya yang penyudah sedang tegak berdiri sebagai khazanah kepada kebenaran itu dan kedua-duanya mengundang manusia seluruhnya agar menerima kebenaran. Allah Yang Maha Berkuasa telah menganugerahkan manusia dengan IKHTIAR atau kebebasan melaksanakan kehendaknya dalam bidang akhlaq dan dalam hubungan IKHTIAR inilah yang dikaitkan dengan maksud menerima kebenaran (yakni manusia bebas memilih kebenaran atau kekafiran kerana kedua-dua mempunyai perbezaan yang jelas).

Dengan demikian penerimaan (kebenaran) adalah atas dasar rela menerima dan bukan paksaan. Sesiapa saja yang bersetuju menerima (dengan ikhlas hati) Konsep Hakikat yang dibawa oleh Rasulullah dan termaktub dalam Kitab Suci Al Quran itu sebagai benar, maka wajar baginya untuk mara ke hadapan dan menundukkan kehendak dirinya kepada kehendak dan tuntutan Allah. Penyerahan tunduk patuh inilah yang dinamakan ISLAM, pancaran dan pembuktian dari IMAN dalam kehidupan 'amaliyyah dan barang siapa yang berbuat demikian - yakni sesiapa yang mengikhlaskan dirinya menerima Allah sebagai Pemerintah Tertinggi dan
tunduk patuh kepada kehendakNya yang mulia (kerana manusia wajib memuliakan kehendak dan peraturan Allah) serta berusaha menyusun atur kehidupan mereka selaras dengan tuntutan-tuntutan Allah Subhanahu Wata'ala dan itulah golongan yang digelar Muslim dan Muslimin.

Semua mereka yang tunduk patuh kepada kehendak Allah dengan cara demikian (secara tidak langsung) menwujudkan satu masyarakat (yang mempunyai keseragaman dalam asas-asas bertindak) dan dengan cara inilah 'Masyarakat Islam' terbentuk. Demikianlah caranya satu masyarakat yang tegak atas dasar 'AQIDAH - satu masyarakat yang wujudnya berbeza sekali dari masyarakat yang diasaskan atas dasar keta'suban bangsa, warna kulit atau sempadan kenegerian.

Masyarakat Islam adalah wujud hasil dari kebebasan memilik dan kemampuan penglibatan anggota-anggotanya: Inilah hasil (Ikatan setia yang terjadi antara manusia dengan Penciptanya Yang Maha Agung. Sesiapa saja yang memasuki 'Perikatan Setia' ini telah mengambil tanggungjawab mengakui Allah 'Azzawajalla sebagai Pemerintah Tertinggi mereka, pimpinanNya sebagai pemimpin yang paling tinggi bagi mereka dan ajaran-ajaranNya sebagai hukum-hukum yang mutlak untuk mereka. Mereka juga telah mengambil tanggungjawab untuk menerima tanpa sebarang soal dan syak meragui tentang pembahagian baik atau buruk, benar atau salah, dibenarkan (diharuskan) atau diharamkan, yang telah ditetapkan olehNya.

Dengan kata-kata yang ringkas dapatlah dikatakan 'Masyarakat Islam' adalah masyarakat yang bersetuju secara sukarela untuk membataskan kehendak-kehendak mereka sebagai yang telah ditetapkan oleh Allah, Tuhan Yang Pengetahuan meliputi segala sesuatu. Atau dengan lain perkataan, Iradah Allah merupakan sumber perundangan yang utama dan bukan manusia itu
sendiri dalam sebuah 'Masyarakat Muslim'.

Apabila masyarakat tersebut muncul menjadi kenyataan, Al Quran dan Rasulullah telah menetapkan bagi masyarakat ini satu peraturan hidup yang dinamakan 'Syari'at' dan masyarakat ini dituntut patuh kepadaNya kerana sebelumnya mereka telah terlibat dalam perikatan setia dengan Allah. Oleh yang demikian tidaklah dapat dibayangkan bagaimana sesuatu masyarakat Muslimyang telah memakai gelaran nama yang mulia itu boleh dengan bebas menerima dan menyesuaikan satu sistem hidup yang lain bagi menggantikan Syari'at yang telah dikhaskan untuk mereka. Jika terjadi demikian, 'janji setia' mereka dengan sendirinya (ipso facto) terurai atau terbatal dan seluruh masyarakat tidak lagi bersifat Islam (La Islamiyyah).

Namun demikian kita mestilah dengan jelas membezakan antara dosa-dosa dan pelanggaran yang dilakukan oleh individu dengan perlanggaran-perlanggaran dan penderhakaan yang menyanggah syariah. Yang pertama tidaklah membawa maksud pembatalan 'ikatan setia' tetapi yang kedua sudah pasti tidak lari dari maksud yang satu itu (iaitu terbatallah 'ikatan setia' itu). Satu perkara yang mesti difahami dengan jelas di sini ialah jika masyarakat Islam secara sedar
memutuskan untuk menolak Syari'at dan membuat perlembagaan dan undang-undangnya sendiri atau meminjamnya dari sumber-sumber yang lain dengan menolak sama sekali Syari'at, masyarakat itu telah merobohkan ikatan setia mereka dengan Allah dan telah melepaskan hak mereka untuk digelar sebagai Islamiyyah atau bersifat Islam.

CARA HIDUP ISLAM (II)

Posted by Ifhul99 | 11/11/2008 12:55:00 AM | 0 komentar »

Oleh :Sayyid Abul A'la Maududi
Terjemahan: Ya'qub Muhammad Hussin Wan Salim Muhammad Nur


II IMAN: WATAK DAN SIFATNYA

Demikianlah beberapa kaedah dasar yang dimaksudkan perlu kita fahami dalam melihat kehendak Allah Subhanahu Wata'ala yang telah menyediakan kepada manusia pedoman-pedoman hidup manakala di sudut lain Allah telah menjelaskan tentang watak, kedudukan dan darjat manusia di dalam alam jagat yang luas ini.

Sekarang marilah kita mengkaji dasar-dasar yang di atasnya Al Quran menegakkan hubungan manusia dengan Allah Subhanahu Wata'ala dan konsepsi hidup yang dengan sendirinya lahir dari perhubungan tersebut. Al Quran telah menjelaskan permasalahan di atas di beberapa tempat tetapi keseluruhan konsep hidup sebagai yang digambarkan telah tersimpul di dalam ayat berikut:

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala telah membeli diri orang-orang Mu'min, jiwa-jiwa mereka dan harta kekayaan mereka dengan menyediakan bagi mereka Al Jannah (syurga). Mereka berperang di jalan Allah, mereka membunuh (musuh-musuh Allah) dan mereka dibunuh (oleh musuh- musuh Allah). (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." (Surah Al-Taubah: ayat 111)

Dalam ayat di atas hubungan yang wujud di antara manusia dengan Allah adalah atas landasan IMAN (perilaku yang penuh sedar meletakkan kepercayaan kepada Allah) telah dipanggil 'penjualan'. Ini bermakna bahawa beriman dengan Allah bukanlah satu konsep metafisik semata-mata; ia merupakan satu corak 'perjanjian' dalam mana manusia menyerahkan seluruh kehidupan dan harta miliknya kepada Allah dengan mendapat tukaran syurga yang telah dijanjikan baginya di Akhirat nanti. Dapatlah dikatakan bahawa Allah memberi kehidupan dan harta milik orang-orang yang beriman serta berjanji dengan hanya balasan adalah Syurga bagi kehidupan sesudah mati. Konsep 'penjualan' ini mempunyai natijah yang amat penting dan dengan demikian kita mestilah terlebih dahulu memahami watak dan maknanya dengan sejelas-jelasnya.

Kedudukan sebenar perkara ini ialah bahawa setiap benda di dalam dunia ini adalah milik Allah Subhanahu Wata'ala. Dialah Pemilik sebenar bagi segala benda. Dengan demikian kehidupan manusia dengan segala kekayaannya juga adalah milik Allah kerana Dialah yang mencipta mereka dan memberikan tanggungjawab kepada setiap insan menggunakan benda-benda itu (dengan cara yang hak). Melihat permasalahan dari sudut ini, sebarang persoalan mengenai jualan dan belian tidak timbul sama-sekali. Allah adalah pemilik sebenarnya.

Oleh yang demikian tidak timbul persoalan Ia membeli sesuatu yang telah memang menjadi miliknya. Sebaliknya manusia bukanlah pemilik sebenar segala yang dimaksudkan dan dengan demikian manusia tidak mempunyai apa-apa hak untuk menjualnya.

Namun demikian ada satu perkara yang Allah kurniakan kepada manusia, yang sekarang menjadi milik penuh untuk dirinya iaitu 'kebebasan ikhtiar'; kebebasan untuk mengikuti atau mengingkari jalan Allah. Oleh kerana manusia telah dikurniakan dengan kebebasan itu dia adalah bebas untuk mengakui atau tidak kebenaran sesuatu perkara. Sekalipun manusia mempunyai kebebasan kehendak dan kuasa memilih, ini tidaklah bermakna ia menjadi pemilik sebenar segala tenaga dan sumber yang dikuasainya, juga tidak bermakna ia boleh menggunakannya mengikuti kemahuan dirinya sendiri sama sepertimana pengakuan atau penolakan sesuatu kebenaran itu tidak akan memberi bekas kepada kebebasan itu, begitulah 'kebebasan' itu bererti ia bebas mengakui atau menolak kedaulatan Allah Subhanahu Wata'ala ke atas kehidupan dan harta bendanya. Sebaliknya dia meletakkan dirinya sendiri untuk bertindak secara mutlak.

Jika ia mahu berbuat demikian ia boleh menganggap dirinya bebas dari sebarang ikatan peraturan dengan Allah dan boleh berfikir bahawa ia menikmati hak-hak dan kekuasaan secara mutlak ke atas semua perkara yang dimilikinya dan dengan semikian ia boleh menggunakan segala-galanya itu menurut kehendaknya sendiri tanpa terikat dengan mana-mana peraturan yang lebih tinggi darinya.

Di sinilah sebenarnya timbul masalah 'jualan' tadi. Penjualan itu tidak bermakna bahawa Allah memberi sesuatu yang dimiliki oleh manusia. Inilah watak yang sebenarnya.

Semua makhluk adalah kepunyaan Allah tetapi la telah mengurniakan barang-barang tertentu kepada manusia untuk digunakan sebagai satu amanah dariNya. Dan manusia telah diberikan kebebasan untuk menunaikan amanah Allah itu secara jujur atau kalau dia disukainya dia akan menyalahgunakan dan berbuat derhaka terhadap Allah.

Allah telah menuntut agar manusia dengan rela (tanpa sebarang tekanan dan paksaan) sanggup segala barang-barang tadi sebagai milikNya dan wajib menggunakannya sebagai satu amanah dari Allah dan bukan mengganggapnya sebagai hak milik pensendirian yang boleh digunakan mengikut kehendak hatinya. Oleh yang demikian manusia yang secara sukarela menolak kebebasan itu malah menolak kekuasaan tertinggi dari Allah dan sebagai ganti pengakuannya terhadap kekuasaan Allah tentulah dapat dikatakan dia telah menjual autonominya (yang juga merupakan suatu kurniaan dari Allah dan bukanlah sesuatu yang manusia memperolehinya dari dirinya sendiri) kepada Allah, dan sebagai balasan yang telah Allah janjikan ia menerima balasan Syurga yang kekal abadi.

Seseorang yang melakukan penjualan seperti itu adalah seorang Mu'min dan IMAN adalah gelaran yang diberikan oleh Islam kepada 'iqrar setia' ini, sementara sesiapa yang memilih untuk tidak memasuki 'iqrar setia' ini dan mengambil satu jalan yang berlawanan dengan Islam, maka ini bererti batallah perjanjiannya dengan Allah dan ia adalah KAFIR dan percubaannya mengkhianati atau meleburkan janjinya dengan Allah itu diistilah sebagai KUFUR.

Itu adalah bentuk 'ikatan'. Sekarang marilah kita mengkaji secara ringkas berbagai-bagai aspek dan ketentuan-ketentuannya:

1. Allah Subhanahu Wata'ala menguji kita dengan dugaan-dugaan yang hebatdalam dua perkara:

a) Ia telah membiarkan manusia hidup bebas.
Namun demikian setelah diberi kebebasan ia ingin melihat samada manusia itu menyedari kedudukannya atau tidak; samada ia masih jujur dan bersikap gagah dan memelihara kesetiaannya kepada Allah atau ia kehilangan pedoman dengan memberontak terhadap Penciptanya; atau ia bergelagat sebagai suatu jiwa yang mulia atau memijak-mijak nilai-nilai budisusila dan melakukan penipuan-penipuan sehingga Malaikat-Malaikat menangis kepiluan lantaran jelek dan ngeri budinya.

b) Dia (Allah) ingin melihat sama ada manusia bersedia untuk yakin kepada Allah yang menawarkan kehidupan dan harta kekayaannya dengan balasan-balasan yang telah dijanjikan bagi kehidupan di Hari Akhirat dan Allah ingin melihat sama ada ia bersedia atau tidak untuk rela patuh menyerahkan kuasa autonomi dan segala kemanisan dan kelazatannya dengan merelakan dirinya menerima balasan janji sebagai bekal masa depannya.

2. Ia adalah menjadi satu prinsip hukum Islam yang telah diterima bahawa IMAN merupakan kepahitan dan ketaatan kepada satu rangkai ajaran (doktrines) dan sesiapa saja yang berpegang kepada ajaran-ajaran tersebut mereka menjadi seorang yang Mu'min. Tidak ada siapa pun yang berhak mencela mereka sebagai orang yang tidak beriman atau pun mengeluarkan mereka dari ikatan kesatuan ummah, kecualilah kalau terdapat bukti-bukti yang jelas tentang kepalsuan dan pengingkaran iman mereka. Ini adalah aspek hukum kepada masalah tersebut.

Tetapi pada pandangan Allah Subhanahu Wata'ala IMAN itu mempunyai nilai hanya apabila kemahuan dan pilihan manusia itu tunduk patuh sepenuhnya kepada perintahNya. Di sinilah terletaknya pemikiran dan tindakan di mana diri manusia patuh mentaati sepenuhnya kepada Allah dengan menafikan runtunan nafsu dan ketinggian dirinya. Ini adalah sesuatu yang datangnya dari sudut hati sanubari. Inilah satu sikap oleh orang yang waras dan punya persediaan dalam sesuatu tindakan tertentu.

Jika seseorang itu mengungkapkan Kalimah Shahadatain membuat iqrar mentaati ajaran Allah, malah mengerjakan sembahyang dan melakukan lain-lain ibadat tetapi di dalam hatinya ia masih mempunyai rasa dialah yang berhak ke atas dirinya dan dialah juga yang menguasai dan menentukan kekuatan anggota tubuh badan dan daya pemikirannya; dan dengan akhlaq dan sumber kebendaannya dia menggunakan semua itu mengikut kehendaknya dan terus bersikap degil melayani pegangannya sebabnya banyak manusia sekalipun melihatnya sebagai Mu'min, Allah tetap tidak melihatnya sebagai Mu'min malah ia, tidaklah termasuk dalam tawaran penjualan yang disebut oleh Allah di dalam kitab Suci Al Quran kerana perilaku demikian tidak langsung mengandungi unsur-unsur IMAN.

Kalau seorang manusia itu tidak menggunakan kuasa dan sumber-sumber mengikut jalan yang telah diperintahkan oleh Allah malah dia menggunakan dengan cara dan untuk tujuan yang terlarang, maka tindakan demikian jelas sekali ia tidak menjanjikan kehidupan dan hartanya kepada Allah atau kalau pun telah dijanjikannya, dia mengkhianati perjanjian tersebut dengan amalan-amalan atau perbuatan- perbuatannya sendiri.

3. Watak Iman membuatkan cara hidup Islam berkerja dan sangat berbeza dari cara hidup yang bukan Islam. Seorang Muslim yang benar IMANnya kepada Allah, membentuk seluruh aspek hidupnya patuh mentaati kehendak Allah.

Seluruh hidupnya adalah satu pengabdian dan kepatuhan dan dirinya tidak bertindak laku dengan cara yang angkuh atau mengikut jalan sendiri kecuali ia melakukannya dalam keadaan terlupa. Tetapi selepas kembali sedar ia segera bermohon keampunan kepada Allah dan bertaubat dari kesalahannya.

Begitu juga sekumpulan manusia atau masyarakat yang dianggotai oleh orang yang benar-benar beriman tidak akan menyimpang dari undang-undang Tuhan mereka. Peraturan-peraturan politik, system undang- undang dan strategi antarabangsanya mestilah segala-galanya selaras dengan alasan-alasan pimpinan yang telah diwahyukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mestilah tidak sedikitpun berlawanan denganNya. Dan kalaulah terjadi kesalahan atau tertinggal mana bahagian ia mestilah dibetulkan segera bila disedari dan kembali kepada garis-garis yang telah ditentukan oleh Allah. Hanya golongan kafir sahaja yang merasa lepas bebas dari pimpinan Tuhan dan bertindak sesuka hati mengikut kemahuan. Barangsiapa bertindak atas dasar demikian, sekalipun mempunyai gelaran nama yang sama dengan seorang Islam (Muslim), ia adalah seorang yang mengikuti jejak Syaitan dan mengikuti jalan golongan-golongan orang yang KAFIR.

4. Kehendak Tuhan, yang berkewajipan untuk diikuti oleh manusia, adalah satu-satunya yang Tuhan sendiri telah mewahyukan sebagai petunjuk kepada manusia. Kehendak Allah itu bukanlah hak manusia untuk menentukannya.

Tuhan sendiri telah menyatakannya secara jelas dan tiada keraguan mengenainya. Oleh yang demikian kalaulah seorang atau sesuatu atau sesuatu masyarakat itu jujur, mulia dan tegas dalam perjanjian dengan Allah, ia berkewajiban membentuk seluruh segi kehidupannya menurut (peraturan- peraturan yang termaktub dalam) Kitab Allah dan Sunnah RasulNya Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan satu pandangan yang mudah akan dapat dilihat bahawa semua aspek-aspek dan ketentuan-ketentuan ini secara logiknya sudah terkandung di dalam penjualan itu dan adalah nyata sekali dari perbincangan di atas mengapa bayaran 'harga' itu ditangguh hingga kepada Hari selepas kematian (kehidupan di Alam Akhirat).

Syurga bukanlah anugerah kerana pengakuan Iman semata-mata tetapi ia adalah satu anugerah sebagai balasan kepada perlaksanaan dari pengakuan iman yang telah diiqrarkan. Jika tidak perjanjian itu ditunai sepenuhnya dan tabiat hidupnya benar telah serasi dengan persyaratan 'janji' maka ia tidak berhak kepada balasan sedemikian. Oleh itu tindakan terakhir dari 'penjualan' itu dikira hanya pada waktu-waktu akhir kehidupan si penjual dan adalah sesuatu pembalasan diberikan untuknya di alam Akhirat.

Satu lagi perkara penting akan timbul dari pengkajian Ayat (Al Qur'an) yang tersebut apabila ianya dibaca dengan merujuk perkara yang berhubungan.

Dalam ayat-ayat lain yang mendahuluinya, rujukan telah dibuat kepada orang-orang yang mengaku diri mereka beriman dan berjanji untuk setia dalam mentaati Allah, tetapi apabila tiba ujian-ujian daripada Allah terbuktilah kepalsuan pengakuan mereka. Sebahagian dari mereka cuai dengan panggilan waktu malah ada yang mengkhianati perjuangan Islam. Manakala sebahagian yang lain pula bersikap munafiq dan enggan untuk mengorbankan kesenangan
dan kemewahan hidup mereka demi perjuangan di jalan Allah.

Selepas menjelaskan tentang hal-hal orang seperti ini dan mengecam sifat yang tidak ikhlas dan pura-pura itu Al Quran telah menjelaskan bahawa IMAN adalah satu 'perjanjian' - yakni satu bentuk janji dari manusia kepada Allah. Ianya bukanlah semata-mata pengakuan percaya kepada Allah. Ianya adalah satu pengakuan bahawa hanya Allah sahaja Tuhan kita, Dialah yang menjadi Pemerintah Tertinggi, Penguasa dan seluruh benda yang ada pada manusia termasuk kehidupannya adalah milik Allah dan dengan demikian manusia berkewajipan mengguna benda-benda tersebut mengikut ketetapan dari Allah.

Jika seseorang Muslim mengambil sesuatu peraturan lain yang bertentangan dengan Islam, dia sudah tidak lagi berlaku jujur dehgan iqrar keimanannya. Orang-orang yang benar IMANnya ialah orang-orang yang menjual seluruh hidupnya dan apa saja yang dimilikinya kepada Allah dan orang-orang yang mengikuti segala perintah Allah dalam semua bidang kegiatan. Mereka mempertaruhkan segala-segala yang ada dalam menegakkan perintah- perintah Allah dan tidak sedikitpun menyimpang dari jalan dan ketaatan kepada Allah Rabul 'Alamin. Itulah sahaja orang-orang yang benar-benar beriman.

CARA HIDUP ISLAM (I)

Posted by Ifhul99 | 11/10/2008 03:27:00 AM | 0 komentar »

Oleh :Sayyid Abul A'la Maududi
Terjemahan: Ya'qub Muhammad Hussin Wan Salim Muhammad Nur

I. Konsep Hidup Islam

Ciri utama dari Din Al-Islam ialah ia tidak membenarkan sesuatu pertentangan, juga pemisahan yang ketara antara kehidupan kerohanian dan kehidupan dunia. Islam tidak sekadar membataskan dirinya untuk membina ketinggian kerohanian dan akhlaq semata-mata. Ruang lingkup peraturan yang dikemukakannya mencakupi segenap bidang kehidupan insan. la hendak melahirkan bukan sahaja ketertiban hidup diri perseorangan malah ketertiban hidup masyarakat manusia seluruhnya ke dalam pola-pola yang sihat dan bersih sehingga Kerajaan Allah dibangunkan dalam bentuk kenyataan di atas muka ini. Dengan demikian keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran akan memenuhi segenap pelusuk muka bumi dan saujana samudera.

Cara hidup Islam didasarkan atas satu pendekatan yang unik kemas serta mantap dan ia merupakan konsep istimewa tentang kedudukan insan dalam alam semesta ini. Itulah sebabnya mengapa perlunya kita memahami terlebih dahulu Tasawwur lslami (konsepsi hidup menurut ajaran Islam) sebelum kita menangani atau membincangkan persoalan ini, masyarakat, politik dan ekonomi dari kacamata Islam.

Langkah permulaan menuju perbincangan persoalan-persoalan yang disebutkan di atas harus dimulai dengan memahami dan menghargai beberapa kaedah dasar. Kaedah-kaedah tersebut adalah seperti berikut:

I QA'IDAH-QA’IDAH DASAR

Allah Rabul 'Alamin - Dialah Pencipta. Penguasa dan Pemilik alam semesta, mencipta manusia dan menyediakan baginya tempat tinggal sementara di suatu tempat dari alam jagatnya yang luas yang dikenali sebagai bumi. Dia telah mengurniakan kepada manusia alat-alat berfikir dan memahami serta telah mengurniakan kemampuan membezakan antara yang Haq dengan yang Bathil. Manusia juga telah diberikan kebebasan dengan daya ikhtiar dan hak memilih malah ia juga diberikan kuasa untuk menggunakan sumber-sumber alam mengikut cara yang disukainya. Secara ringkas dapatlah dikatakan bahawa manusia telah diberikan satu kuasa autonomi di samping tugas kekhalifahan yang telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepadanya (untuk menjaga dan memelihara muka bumi ini).

Sebelum mengamanahkan tugas kekhalifahan di atas muka bumi ini kepada manusia, Allah Subhanahu Wata'ala telah menjelaskan kepada manusia bahawa Dialah satu-satunya Pemilik, Penguasa dan Tuhan kepada alam ini. Dengan demikian seluruh isi alam dan segala ciptaan di dalamnya (termasuk manusia) wajib tunduk patuh hanya kepada Dia sahaja. Manusia mestilah tidak memikirkan bahawa dirinya bebas tanpa sebarang peraturan dan dia sepatutnya tahu bahawa tempatnya di atas muka bumi ini bukanlah tempat yang kekal abadi baginya. Ia ditetapkan untuk tinggal di atas muka bumi hanya bagi suatu tempoh percubaan yang telah ditetapkan, dan kelak bila tepat tiba pada masanya ia dikembalikan kepada Pemiliknya untuk diadili sesuai dengan cara mana ia telah melaksanakan amanahnya dalam jangka waktu percubaan yang telah di alaminya.

Satu-satunya jalan yang benar untuk manusia ialah dengan mengakui bahawa Allah Subhanahu Wata'ala satu-satunya Tuhan dan Pemilik dan kepada petunjuk dan arahannya sahajalah manusia patut mengikutinya di dalam membina kehidupan. Manusia haruslah menyedari bahawa kehidupannya nanti akan diadili dan satu-satunya tujuan hidupnya ialah untuk mencapai MARDATILLAH (keredhaan Allah) bagi membolehkannya layak menerima balasan baik di Hari Akhirat. Sebarang sikap dan haluan yang bertentangan dengan perkara di atas akan membawa manusia kepada kesesatan dan kemusnahan. Sekiranya manusia mengikuti jalan yang baik, dan taqwa (yang ia adalah bebas untuk memilih dan mengikutinya) nescaya ia akan mendapati kejayaan di dunia dan di akhirat. Di dunia dia akan beroleh kehidupan yang aman damai dan puas manakala di akhirat nanti ia merupakan orang yang layak menerima balasan Syurga Allah (Al Jannah). Dan jika ia memilih jalan yang lain menafikan dengan peraturan-peraturan Tuhan dan jalan yang jahat (juga merupakan jalan yang ia bebas memilih dan mengikutinya) nescaya kehidupan dunianya menjadi kehidupan yang penuh dengan penyelewengan, penipuan, kefasiqan dan kekecewaan manakala di Akhirat nanti ia ditimpa bala derita, siksa kepedihan dan rintihan penyesalan yang tidak berpangkal di dalam neraka Jahim.

Sesudah memberikan peringatan ini, Allah Subhanahu Wata'ala telah menempatkan manusia di atas muka bumi dan menyediakan manusia yang pertama (iaitu Nabi Allah Adam dan Sayyidatina Hawa) dengan PimpinanNya dan manusia mesti menjalani kehidupan di atas muka bumi ini berpandukan ketentuan dan peraturan yang telah ditetapkanNya. Dengan demikian kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak dimulai dengan keadaan gelap gulita.

Manusia yang pertama itu telah disediakan dengan sinar cahaya yang terang benderang dan Hidayah bimbingan yang membolehkan manusia mencapai kehidupan yang gilang-gemilang. Manusia yang pertama (iaitu Nabi Adam 'Alaihissalam) menerima Ilmu Tanzil dari Allah sendiri. Baginda mempunyai ilmu tentang hakikat dan telah diberikan pula peraturan hidup yang apabila dipatuhi ia akan mencapai serta menikmati kehidupan yang diredhai dan berjaya.
Peraturan ini ialah Islam, satu sikap tunduk patuh secara menyeluruh kepada Allah, Dialah Pencipta manusia dan seluruh alam jagat ini. Agama inilah agama Nabi Allah Adam 'Alaihissalam, manusia pertama yang kemudiannya mewariskan kepada zuriat keturunannya.

Tetapi generasi-generasi kemudiannya secara beransur-ansur telah menyeleweng
serta menyimpang dari jalan yang benar dan mula mengambil jalan-jalan dari suara-suara yang salah dan palsu. Disebabkan oleh kelalaian mereka sendiri, mereka telah kehilangan ajaran-ajaran asli, atau kerana kebodohan atau kejahilan, mereka telah memalsukan dan memutarbelitkan ajaran-ajaran tersebut. Mereka menyekutukan (syirik) Allah Subhanahu Wata'ala dengan manusia, makhluk-makhluk yang tidak bernyawa dan benda-benda khayalan mereka yang tidak terkira itu sebagai tuhan-tuhan dan dewa-dewa dan telah memasukkannya
dalam bentuk syirik yang paling buruk dan jelek.

Mereka telah mencampuradukkan ajaran-ajaran suci dari Allah dengan dongengan-dongengan, fikiran-fikiran dan falsafah-falsafah yang akhirnya menghasilkan belantara agama (bermaksud banyak agama) dan budaya. Mereka telah membelakangkan prinsip-prinsip etika sosial dan akhlaq jama’ah yang diberikan oleh Allah, iaitu Shari'at dan mengecewakan hidup manusia dari
kebahagiaan dan kedamaian.

Sekalipun manusia telah tersisih dari landasan kebenaran, mengabaikan dan memutarbelitkan SYARI'AT, malah terdapat sebahagian dari mereka yang memberontak terhadap peraturan-peraturan Ilahi. Namun begitu Allah tetap tidak membinasakan mereka atau memaksa mereka kepada jalan yang benar.

Paksaan untuk mereka menerima jalan yang benar tentu sekali tidak serasi dengan autonomi yang telah Allah berikan kepada manusia. Sebaliknya Allah telah mengangkat orang-orang mulia yang tertentu dari kalangan mereka untuk memikul tanggungjawab memanggil semula dan membimbing manusia ke jalan kebenaran selagi mereka itu masih memenuhi ruang muka bumi ini. Mereka ini adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hidup mereka merupakan hidup yang penuh ketaatan kepadaNya. Allah telah memuliakan mereka dengan
wahyuNya dan memberikan mereka ilmu tentang Hakikat. Mereka ini dikenali sebagai Nabi-Nabi (Sallallahu 'alaihim Ajma'in) yang telah diberikan tugas menyampaikan Risalah kebenaran kepada manusia dan menyeru manusia supaya mengikuti jalan Allah Subhanahu Wata’ala.

Nabi-Nabi ini dibangkitkan di segala zaman, di segala negeri dan di dalam semua bangsa. Bilangan mereka melebihi ribuan orang. Mereka semuanya membawa risalah yang sama, mengutarakan cara hidup yang sama (Din) - iaitu cara yang ditanzilkan kepada manusia sejak hari pertama kewujudan. Mereka semuanya mengikuti petunjuk (Hidayah) yang sama: petunjuk yang dikurniakan oleh Allah untuk manusia sejak hari pertama kehidupannya di atas muka bumi. Mereka semuanya berjuang untuk risalah yang sama; mereka menyeru manusia kepada Agama Islam, meminta mereka yang telah menerima petunjuk Allah supaya menjalani kehidupan mengikut peraturan-peraturan Allah dan berusaha membawa mereka di dalam satu jama'ah gerakan untuk menegakkan undang-undang Allah dan mengakhiri penyelewengan-penyelewengan dari jalan kebenaran.

Setiap Nabi telah berusaha memenuhi tuntutan risalah ini dengan cara yang sebaik mungkin. Tetapi sebilangan manusia yang tidak kecil jumlahnya tidak sekali-kali menerima petunjuk mereka dan ramai dari mereka yang menerimanya pula, secara beransur-ansur sesat menyimpang selepas masa yang panjang berlaku. Mereka kehilangan petunjuk atau memutar-belitkannya dengan memasukkan perkara-perkara baru dan penyelewengan-penyelewengan.

Akhirnya Allah membangkitkan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihi Wasallam ditanah Arab dan mengamanahkan kepada Baginda untuk menyempurnakan Risalah yang pernah diperintahkan kepada Nabi-Nabi sebelumnya. Risalah Nabi Muhammad ini adalah untuk seluruh manusia. Baginda mengemukakan kembali ajaran-ajaran Islam dalam bentuknya yang asal dan sekali lagi memberikan "Pedoman Hidup" dari Allah yang mereka telah kehilangannya dalam bentuknya yang asal. Baginda telah mengumpulkan seluruh mereka yang telah menerima risalahnya ke dalam satu UMMAH yang bertanggungjawab membangunkan kembali kehidupan mereka sejajar dengan Islam dengan cara menyeru manusia kembali ke jalan kebenaran dan untuk menegakkan Kalimatullah sebagai kuasa tertinggi di atas muka bumi ini. "Pedoman Hidup" ini telah termaktub di dalam kitab suci Al Quran yang merupakan satu-satunya peraturan hidup yang benar bagi umat
manusia.

Apa Ertinya Anda Seorang MUSLIM..?

Posted by Ifhul99 | 11/10/2008 02:15:00 AM | 0 komentar »

Oleh:Sayyid Abu al-A’la Al-Maududi


APAKAH KITASEBENARNYA SEORANG MUSLIM??

Ada beberapa kalimah yang sering bermain di bibir setiap orang, kecil atau besar, tetapi tidak ramai di kalangan mereka yang memahami dengan mendalam dan sungguhs-ungguh akan pengertian kalimah-kalimah itu.

Dan oleh kerana terlampau banyak dipertuturkan maka dengan sendirinya terbentuklah suatu pengertian secara singkat di fikiran setiap orang. Bila seseorang menyebut kalimah tersebut maka pengertian itulah yang dimaksudkan olehnya; dan begitu juga bila seseorang mendengar ianya disebut maka yang segera terlintas di fikirannya ialah pengertian yang sempit itu juga, sedangkan makna dan ertinya yang tepat dan padat masih lagi kabur di kalangangolongan terpelajar, apa lagi di kalangan golongan awam yang jahil.

Umpamanya dua kalimah "ISLAM" dan "MUSLIM", alangkah larisnya ia diucapkan. Tetapi berapa ramaikah di kalangan mereka yang menyebutnya itu yang merasakan dengan sungguh-sungguh pengertian yang terkandung di dalam dua kalimah itu. Berapa ramaikah di kalangan mereka yang mendengarnya yang memahami dengan mendalam apa yang tersirat dari maksudnya. Sesungguhnya di kalangan orang muslimin sendiri - belakangkan yang bukan muslimin - 99% bahkan lebih ramai lagi yang mendakwa diri mereka muslim dan mengaku agama mereka Islam, tetapi mereka tidak mengetahui apakah dia muslim dan apakah dia Islam
yang sebenarnya. Maka hari ini marilah kita mengambil sedikit waktu untuk memahami dua kalimah ini.Jika anda melihat kepada gelagat manusia di segi i'tikad dan amalan, anda akan dapati mereka kebanyakannya terbahagi kepada tiga golongan.

Pertama: Orang yang dengan terang-terang mengagungkan kebebasan berfikir dan beramal. Setiap perkara dalam hidup mereka hanya berpegang kepada pendapat mereka sendiri dan hanya yakin pada apa yang diputuskan oleh fikiran mereka. Cara bekerja bagi mereka ialah apa yang pada pandangan mereka betul. Mereka tidak mempunyai hubungan langsung dengan mana-mana agama dan tidak mengikutinya.

Kedua: Terdiri dari orang-orang yang zahirnya berpegang pada suatu agama yang tertentu, tetapi pada hakikatnya mereka mematuhi pendapat dan fikiran mereka sendiri. Mereka tidak pernah merujuk kepada agama untuk mengambil pegangan-pegangan atau peraturan hidup. Kadang-kadang mereka mengambil setengah pegangan mengikut kehendak hawa nafsu, kecenderungan dan keperluan diri dan hidup mereka. Mereka bekerja dengan cara sendiri kemudian cuba menyesuaikan agama mengikut rekaan mereka. Maka mereka pada hakikatnya bukan penganut agama, tetapi agama yang menjadi penganut hawa nafsu mereka.

Ketiga: Terdiri dari golongan yang tidak mempergunakan akal mereka, malah memberhentikannya langsung. Lalu mereka pun merangkaklah di belakang manusia dengan mengikut mereka secara membabi-buta; sama ada manusia-manusia itu datuk nenek mereka atau orang-orang yang semasa dengan mereka.

Golongan yang pertama, mereka ini tenggelam dalam kebebasan sehingga mereka tidak mengetahui sempadan yang sebenarnya. Memang kebebasan bekerja dan berfikir itu sesuatu yang betul kalau menurut had-hadnya, tetapi bila sudah melampaui batas dia akan menjadi sesat. Seseorang yang hanya bergantung pada pendapat sendiri sematamata dan menghukum menurut akalnya sahaja dalam semua perkara akan terjerumus dalam salah faham dan kesilapan. Dia merasakan bahawa ilmu dan akalnya telah meliputi semua perkara di dunia ini. Tidak ada suatu hakikat pun dan tidak ada satu kebaikan pun yang terlindung dari pengetahuannya. Dia menyangka bahawa dia mengetahui tanda-tanda di setiap jalan, mengetahui setiap kesudahan suatu perkara sepertimana dia mengetahui permulaannya. Sebenarnya sangkaan seperti ini - bahawa dia mengetahui serta dapat memikirkan semua perkara - pada hakikatnya adalah salah. Kalau seseorang itu mempergunakan akalnya dengan sebenarnya nescaya akal itu akan menunjukkannya bahawa ia - akal - tidak bersifat sepertimana yang disangkakan. Sesungguhnya seseorang yang memilih akalnya sebagai pemandu dan hanya menuruti jalan yang ditunjukkan oleh akal semata tidak akan terselamat dari kegelinciran, perlanggaran, kebinasaan dan kesesatan.

Kebebasan berfikir dan bekerja seperti ini juga merbahaya bagi sesuatu negara/perkumpulan masyarakat. Kerana kebebasan berfikir ertinya seseorang itu tidak akan percaya kecuali apa yang betul menurut fikirannya dan tidak akan menurut suatu jalan kecuali apa yang ditunjukkan oleh akalnya. Sedangkan mengikut kehendak masyarakat pula kebalikan dari itu; iaitu setiap individu yang berada didalam sesuatu masyarakat wajiblah mengikut prinsip-prinsip dan dasar-dasar pokok yang terdapat dalam masyarakat itu. Tindak-tanduknya mestilah bersesuaian dengan adat dan kebudayaan serta undang-undang yang mengatur kehidupan masyarakat. Ini bererti bahawa kebebasan berfikir dan bekerja itu bertentangan dengan kehendak cara hidup bermasyarakat.

Sesungguhnya kebebasan seperti ini sering mencetuskan sifat-sifat keakuan, keegoan dan kekacauan di kalangan individu, sedangkan masyarakat & negara menghendaki mereka supaya patuh, taat dan setia. Oleh itu di mana ada kebebasan yang mutlak maka tidak adalah tamadun negara dan di mana ada tamadun maka tidak dapat tidak mereka terpaksa mengorbankan sedikit daripada kebebasan berfikir dan beramal demi keuntungan yang lebih banyak.

Golongan yang kedua pula lebih buruk keadaannya dari golongan pertama. Golongan pertama hanya sesat sahaja, tetapi golongan kedua pendusta, penipu serta munafik. Sekiranya seseorang itu dapat menyesuaikan antara agamanya, fikirannya dan kecenderungannya dalam batas-batas yang sihat, maka dia boleh mengikuti agama dengan tidak mengurangkan kebebasannya dalam berfikir dan bekerja. Begitu juga seandainya kecenderungan seseorang berlawanan dengan agama, dia rela menerima hukum agama dan menyalahkan kecenderungannya maka betullah dakwaannya bahawa ia mengikuti agama itu. Tetapi sebaliknya jika prinsipnya dan amalannya terang-terang menyalahi ajaran agama, namun dia tetap menganggap bahawa fikirannyalah yang betul sedang ajaran agarna itu salah, kemudian dia cuba pula mengolah ajaran agama supaya sesuai dengan fikirannya dan tabiatnya; maka orang yang serupa ini kita tidak sahaja menggelarnya bodoh kerana orang yang bodoh tidak mungkin melakukan penipuan dan kepesongan yang seperti ini, bahkan kita akan memanggilnya pendusta dan pembohong. Dan kita akan terpaksa menuduh bahawa dia tidak berani menhentam agama dengan terus-terang lalu dia mendakwa beriman dengan secara munafik. Jika tidak maka apakah gerangan yang menghalangnya berpindah terus dari agama yang ajarannya bertentangan dengan akalnya dan berlawanan dengan fikirannya serta menyekatnya dari mengikuti jalan yang disukai oleh hatinya dengan sepenuhnya, malah jalan yang telah dilaluinya dengan sebenarnya.

Dan golongan yang ketiga adalah paling jelek sekali berbanding dengan golongan yang lain di segi kewarasan akal. Adapun kesalahan dua golongan tadi ialah mereka membebankan akal dengan sesuatu yang di luar kemampuannya, tetapi kesalahan golongan ini mereka tidak mempergunakan akal langsung, atau menggunakannya dengan penggunaan yang tidak dapat dibezakan antara ada dengan tidaknya. Manakah keaiban yang lebih besar dari seorang berakal yang berpegang pada suatu akidah yang tertentu tetapi tidak mempunyai sebarang dalil akan kebenaran akidah yang dipegangnya itu kecuali hanya semata-mata ajaran itu dianuti oleh datuk neneknya atau lantaran itulah yang dipegang oleh sesuatu bangsa yang sedang berada di puncak ketinggian di zaman itu.

Sesungguhnya orang-orang yang memegang suatu jalan dalam hal-hal yang berhubungan dengan keagamaan atau keduniaan yang diwarisinya dari datuk nenek atau generasi yang terdahulu, ataupun ia memilih jalan lain berdasarkan bahawa jalan itulah yang sedang dikagumi di kalangan bangsa-bangsa yang maju ketika itu, maka orang yang seperti ini seolah-olah telah menonjolkan dirinya bahawa dalam kepalanya tidak ada otak atau dalam otaknya tidak ada kekuatan untuk berfikir. Dia tidak punya potensi untuk membezakan antara yang salah dengan yang betul. Andainya dia secara kebetulan dilahirkan di rumah Yahudi maka dia akan percaya akan kebenaran agama Yahudi. Kalau dia dilahirkan di rumah Islam maka dia percaya akan kebenaran Islam. Atau dilahirkan dalam keluarga Kristian maka dia akan menjadi penganut Kristian.

Begitulah dengan secara kebetulan juga, yang berkuasa di zamannya bangsa kulit putih barat maka dia menganggap setiap tradisi barat itu lambang kemajuan dan neraca kehebatan. Kalau yang berkuasa di zamannya orang Cina nescaya baginya tradisi Cinalah yang menjadi lambang kemajuan. Dan kalau yang berkuasa hari ini orang Negro di Afrika maka tidak syak lagi Negrolah yang menjadi lambang ketamadunan manusia di sisi orang yang berfikiran cetek tadi.

Sebenarnya bukanlah suatu bukti yang boleh diterima bahawa sesuatu itu dikatakan betul atau benar kerana ia telah diamalkan oleh datuk nenek atau generasi yang terdahulu atau kerana ia diamalkan oleh dunia hari ini.
Andainya orang-orang bodoh yang dahulu dan sekarang melakukan sesuatu, kita tidak seharusnya mengikuti orang orang itu dengan membuta-tuli. Tidak sepatutnya kita menuruti setiap jejak orang lama atau moden tanpa dikaji dan difikirkan dahulu. Apakah kita mahu menambatkan diri kita di setiap ekor binatang yang ditunggangi orang tanpa mempersoalkan apakah ia berlari ke jalan yang penuh duri atau sedang menuju ke jurang kesesatan?

Sesungguhnya kita telah diberi akal supaya kita dapat membezakan antara yang betul dan yang palsu. Sebelum kita mengikuti seseorang hendaklah kita melihat terlebih dahulu: Mahu ke manakah orang ini?

Islam telah menganggap ketiga-tiga jenis orang ini sebagai terjerumus dalam kebatilan dan kesesatan.
Adapun golongan yang pertama mereka tidak memilih orang yang membawa cahaya
sebagai pemandu bagi mereka dan di tangan mereka sendiri juga tidak mempunyai cahaya yang sebenar untuk menyuluh jalan hidup mereka. Mereka tidak ubahlah seperti melontar benda yang tidak ada atau meraba di dalam gelap-gelita. Tidak boleh melangkah ke mana-mana atau akan terjerumus ke jurang bahaya kerana mereka hanya mengagak-agak sendiri tanpa suatu kepastian. Mereka menghadapi dua kemungkinan; sama ada salah atau betul, tetapi lebih dekat kepada kesalahan.
(Dan orang-orang yang menyeru sekutu-sekutu (sembahan-sembahan) selain Allah, tidak mengikuti suatu keyakinan kecuali prasangka belaka. Dan mereka hanyalah berdusta) Yunus: 66.

(Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka sedang sesungguhnya prasangka itu tidak berguna sedikitpun untuk mencapai kebenaran) An-Najm: 28.

(Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. Padahal sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka. Atau apakah manusia akan dapat segala yang dicita-citakannya) An-Najm: 23-24.

(Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengarannya dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberi petunjuk sesudah Allah?) Al-Jaatsiyah: 23.

(Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk orang-orang yang zalim) Al-Qashash: 50.

Pendukung golongan kedua di zaman turunnya Al-Quran ialah Bani Israel yang mendakwa menjadi pengikut Nabi Musa a.s. dan berpegang pada Taurat, tetapi pegangan dan amalan mereka kebanyakannya berlawanan dengan pimpinan Musa a.s. dan ajaran Taurat. Mereka tidak segan-segan dengan penyelewengan mereka itu. Mereka bukan memperbetulkan fikiran dan amalan mereka. Mereka menyembunyikan ajaran Taurat yang asal dan menggantikan di tempatnya fikiran mereka sendiri seolaholah itulah pengajaran yang diturunkan. Orang-orang yang cuba memberikan kesedaran kepada mereka dari berterusan dalam kesesatan dan maksiat dan mengajak mereka kembali mengikut ajaran Allah yang berlawanan dengan hawa nafsu mereka disambut dengan celaan dan cacian sehingga kadang-kadang ada yang dibunuh.

Kepada mereka ini Allah berfirman:
(Mereka suka merobah perkataan Allah dari tempat-tempatnya dan mereka sengaja
melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya dan kamu
(Muhammad) sentiasa akan melihat kekhianatan dari mereka kecuali sedikit di antara
mereka yang tidak berkhianat) Al-Maaidah: 13.

(Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mencampur-adukkan yang hak dengan yang batil dan
menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuil) Al Imran:71.

(Setiap datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak diingini
oleh hawa nafsu mereka, maka sebahagian dari Rasul-Rasul itu mereka dustakan dan
sebahagian yang lain mereka dibunuh) Al-Maaidah: 70.

Kemudian dengan terang-terang Allah berkata kepada mereka:
(Katakanlah: Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikitpun hingga kamu
menegakkan ajaran-ajaran Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepadamu dari
Tuhanmu (Al-Quran) Al Maaidah: 68.

Dan tentang golongan yang ketiga pula Allah berfirman :
(Dan apabila dikatakan kepada mereka: "lkutilah apa yang telah diturunkan Allah!"
Mereka rnenjawab: "Tidak! Tetapi kami hanya mengikut apa yang telah kami dapati dari
perbuatan nenek rnoyang kami!" Apakah mereka akan mengikuti juga walaupun nenek
moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk) Al-Baqarah: 170.

(Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah mengikut kepada apa yang diturunkan
Allah dan kepada Rasul." Mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami
dapati bapa-bapa kami mengerjakannya." Apakah mereka akan mengikuti juga nenek
moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan
tidak pula rnendapat petunjuk?) Al-Maaidah: 104.

(Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini nescaya
mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti
prasangka belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta) Al-An'aam: 116.

Golongan ketiga:
Sesungguhnya orang-orang yang tidak menggunakan akal dan fikiran mereka dan tidak
tahu membezakan dengan sendiri antara yang betul dan yang salah, malah mengikut
sahaja orang lain dengan buta tuli telah dihukum oleh Al-Quran dengan:

(Mereka tuli, bisu dan buta. Mereka tidaklah akan kembali ke ialan
yang benar)
Al- Baqarah: 18.

Dan diumpamakan mereka seperti binatang, bahkan lebih jelek darinya, kerana binatang tidak mempunyai akal, sedangkan mereka mempunyai akal tetapi tidak mempergunakannya.

(Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai) Al-A'raaf: 179.

Ketiga-tiga golongan yang melampau dan keterlaluan ini telah ditolak oleh Al-Ouran dan menggantikannya dengan suatu umat yang sederhana dan stabil, umat pertengahan yang menegakkan keadilan.

Apakah jalan pertengahan dan kestabilan ini? Inilah jalannya!
Pertama-tama tembusilah segala benteng kebudayaan lama dan aliran-aliran baru yang terbentang di hadapan anda. Bukalah mata anda dalam pancaran akal yang sejahtera dan waras dan pandanglah dengan sendiri yang mana haq dan yang mana batil.

Apakah atheisma yang betul atau ketuhanan?
Apakah tauhid yang betul atau syirik?
Apakah untuk merentasi jalan lurus manusia berhajat kepada hidayat Allah Taala atau tidak?
Apakah para Nabi dan Muhammad a.s. semuanya benar atau dusta - barang dijauhkan Allah ?
Apakah jalan yang ditunjukkan oleh Al-Quran itu lurus atau bengkang-bengkok?

Andainya hati anda mengiktiraf bahawa:
fitrah manusia memerlukan keimanan kepada Tuhan dan, Tuhan itu ialah Allah yang tiada sekutu bagi-Nya dan, hati kecil anda mengakui bahawa manusia tidak dapat dinafikan lagi berhajat kepada nur dari sisi Allah demi merentasi jalan yang lurus dalam hidupnya dan nur itu ialah apa yang telah dibawakan oleh para Nabi dan Rasul a.s. yang merupakan petunjuk kebenaran untuk manusia sepanjang zaman dan, sesungguhnya kehidupan murni yang dihayati oleh Nabi Muhammad s.a.w. di dunia ini menunjukkan bahawa manusia yang menjalani kehidupan yang penuh dengan kesucian yang maha tinggi itu tidak mungkin sekali-kali menipu alam sejagat - jika ia telah mendakwa bahawasanya ia seorang Rasul dari sisi Allah maka sudah pasti dakwaannya itu benar - dan, jika anda membaca Al-Quran, akal anda memutuskan bahawa jalan yang lurus untuk dijadikan pegangan dan amalan ialah yang dibentangkan oleh kitab ini dan, kitab ini tidak diragukan lagi datangnya dari sisi Allah, maka seharusnya anda jangan takut lagi kepada celaan orang yang mencela atau keengkaran orang yang degil. Sebaliknya bersihkanlah hati anda dari segala ketakutan akan kekurangan atau ketamakan akan keuntungan dan beriman serta yakinlah dengan apa yang telah diakui oleh diri dan hati anda sendiri akan kebenarannya.

Dan apabila anda telah :
membezakan antara yang benar dengan yang palsu dengan akal yang waras yang dianugerahkan oleh Allah kepada anda dan, anda telah memilih yang benar dari yang palsu, maka telah selesailah tugas akal anda dalam mengkaji dan mengkritik. Lalu berpindahlah kuasa pemerintahan dari akal manusia kepada Allah dan Rasul. Tidak mungkin lagi bagi anda sesudah itu membuat keputusan dengan sendiri dalam seluruh hidup anda. Sebaliknya anda wajib mematuhi setiap apa yang perintahkan oleh Allah dan Rasul.

Memang anda tidak ditegah dari mempergunakan akal untuk memahami hukum-hukum dan mengkaji hikmah hikmahnya untuk dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan, tetapi anda tidak harus meragui dan mengungkit-ungkit apa yang disuruh oleh Allah, sama ada:

  1. anda memahami hikmatnya atau tidak,
  2. sama ada ianya secocok dengan ukuran akal anda atau tidak,
  3. sama ada diputuskan oleh Allah dan Rasul itu mendatangkan keuntungan untuk dunia anda atau tidak dan,
  4. sama ada perintah Rasul itu sesuai dengan adat dan cara hidup yang diminati oleh
orang ramai di dunia atau bertentangan dengannya; MAKA tidak harus lagi bagi anda dalam semua keadaan itu kecuali tunduk dan patuh. Kerana apabila anda beriman kepada Allah, percaya akan Rasul serta yakin bahawasanya setiap apa yang diseru oleh Rasul itu adalah datangnya dari Allah, bukan dari dirinya sendiri (Dan dia tidak berkata menurut kemahuan hawa nafsunya sendiri, perkataan itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.) An Najm: 3-4,
maka logiknya dari penyerahan dan keyakinan ini anda mengutamakan apa yang diputuskan oleh Allah dan Rasul dari apa yang diputuskan oleh akal anda dan tidak seharusnya anda mengkritik dan mengomen perintah-perintah dan larangan-larangan yang dibawa oleh Nabi dari sisi Allah dengan mempergunakan keintelekan dan percubaan ujikaji orang lain.

Sesungguhnya orang yang berkata: “Aku orang yang beriman”, kemudian selepas itu ia meragui dan mengungkit-ungkit apa yang didatangkan dari Allah maka ertinya ia telah menolak dakwaannya sendiri dan membatalkan apa yang telah diucapkannya. Ia tidak mengetahui bahawa iman dan ragu adalah dua perkataan yang berlawanan yang tidak mungkin dicantumkan.

Setiap peraturan dan disiplin itu dibina diatas asas taat dan patuh, sedangkan keraguan dan ungkitan tidak mendatangkan sesuatu kecuali kekacauan dan kezaliman. Maka jalan yang sederhana dan stabil inilah yang dinamakan sebagai 'ISLAM' dan golongan yang mengikuti jalan inilah yang digelar 'MUSLIM'. Sesungguhnya Islam bererti tunduk, patuh dan redha. Dan muslim ialah orang yang patuh kepada perintah pemerintah dan larangan pelarang dengan kepatuhan yang penuh redha. Maka penamaan ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa tidak dibangkitkan golongan yang keempat ini di dunia berasingan dari tiga golongan di atas serta jalan-jalan mereka yang sesat, kecuali supaya mereka mengikuti perintah Allah dan Rasul dan tunduk kepadanya. Sesungguhnya: tidak harus bagi golongan ini mengikuti akalnya pada setiap urusan, tidak harus baginya mempermainkan hukum Allah dengan mengambil apa yang sesuai dengan nafsunya dan meninggalkan apa yang tidak sesuai, tidak harus baginya melemparkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul ke belakang dan melencong mengikut manusia-manusia dengan buta tuli, sama ada manusia-manusia yang masih hidup atau sudah mati.

Hakikat ini telah disebut oleh Al-Quran dengan jelas. la berkata bahawa apabila datang perintah Allah kepada orang mukmin maka tiada lagi pilihan baginya.
(Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang
mukminah, apabila Allah dan Rasul telah manetapkan suatu ketetapan, maka ada lagi
bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai
Allah dan Rasul-Nya rnaka dia telah sesat, sesat yang nyata) Al-Ahzab: 36.

Dan ia berkata bahawa seorang yang mengambil sebahagian dari Kitab Allah dan meninggalkan sebahagian yang lain akan membawa kepada kehinaan di dunia dan akhirat.

(Apakah karnu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan engkar terhadap sebahagian
yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan
kenistaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan
kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lalai dari apa yang kamu perbuat)
Al-Baqarah: 85.

Dan Al-Quran berkata lagi bahawa hukuman orang mukmin pada sesuatu kes tertentu wajiblah berpandu kepada Kitab Allah sekalipun sesuai dengan kehendak hawa nafsunya ataupun bertentangan dengannya.
(Putuskanlah perkara mereka rnenurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu
mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang
kepadamu) Al-Maaidah:48.

la berkata juga sesiapa yang tidak menghukum menurut Kitab Allah maka ia adalah fasik.
(Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah maka
rnereka itu adalah orang-orang yang fasik) Al-Maaidah: 47.

Dan setiap hukuman yang berlawanan dengan Kitab Allah maka itu adalah hukuman Jahiliah.
(Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki Dan hukum siapakah yang lebih balk
daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakinl) Al-Maaidah: 50.

Kamudian Al-Quran berkata:
(Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan orang-orang
yang memegang kekuasaan di antara kamu. Kemudian jika kamu barlainan pendapat
tentang sesuatu maka kembalikan lah ia kepada Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah), jika
kamu benar-benar beriman kapada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih
utama bagimu dan lebih baik akibatnya. Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang
yang mengaku dirinya beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa
yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal
mereka telah diperintahkan mengengkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud
menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan
kapada mereka: "Marilah kamu tunduk kepada hukum yang Allah telah turunkan dan
kepada hukum Rasul," nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi manusia
dengan sekuat-kuatnya dari mendekati kamu. Maka bagaimanakah halnya apabila
mereka ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri,
kemudian meraka datang kepadamu sambil bersumpah: Demi Allah, kami sekali-kali
tidak menghendaki selain penyelesaian yang baik dan perdamaian yang sempurna.
Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka,
kerana itu berpalinglah kamu daripada mereka dan berilah mareka pelajaran dan
katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.
Dan kami tidak mengutus seseorang Rasul melainkan untuk ditaati dangan izin Allah.
Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiayai dirinya datang kepadamu lain
memohon ampun kepada Allah dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka,
tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Maka demi Tuhanmu. mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka
menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian
mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang
kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.) An Nisaa': 59-65.

Sesungguhnya telah nyatalah dari ayat-ayat yang jelas ini sudut penamaan Islam dan Muslim. Dan kini wajiblah di atas kita yang nama-nama kita tercatat di dalam senarai Muslimin/muslimah melihat dan berfikir sejauh manakah kalimah muslim ini telah menepati diri kita dan sejauh manakah benarnya cara hidup yang kita ikuti sekarang boleh dinamakan ISLAM !

islam ebook gratis, wallpaper gratis, m3 religi gratis, dakwah islam, serba-serbi islam, perpustakaan islam, dakwah firdaus